Pada 11.11.11, 11 rancangan Astro Ceria yang paling popular akan ditayangkan berturut-turut bermula 11 pagi! Mari berhibur dengan rancangan tempatan dan antarabangsa serta pelbagai watak-watak yang menarik!

Selain itu, pelakon-pelakon drama Elly & Epit akan menemani anda sepanjang 11 rancangan ini dengan telatah mereka yang mencuit hati. Rancangan Elly & Epit akan bermula pada 11 pagi, 20.11.2011 iaitu hari Ahad yang pertama untuk cuti sekolah tahun ini.

Dr. Slump Arale - 11:00 pagi

Encik Senbei Norimaki, seorang pencipta yang dikenali sebagai Dr Slump berjaya mencipta robot manusia -  Arale. Arale adalah robot comel yang memakai kaca mata dan belajar di Sekolah Kampung Penguin. Rakan sekelas Arale semua hairan dengan tahap kebijaksanaannya dan kemampuan fizikalnya yang luar biasa!

Dragon Ball - 11:30 pagi

Goku, seorang budak berusia 12 tahun yang hidup sendirian di hutan. Datuknya yang bernama Gohan adalah seorang pakar seni mempertahankan diri yang hebat. Pada suatu pagi, Goku telah berkenalan dengan seorang gadis bernama Bulma yang sedang mengumpul Mutiara Naga. Sekiranya Bulma dapat mengumpul 7 biji Mutiara Naga, dia boleh menyeru pada naga untuk memenuhi impiannya.

Hagemaru - 12:00 tengah hari

Hagemaru, seorang budak berumur sepuluh tahun yang sentiasa mengucar-kacirkan semua urusan dan tugasan secara tidak sengaja. Kartun ini penuh dengan lawak jenaka yang menunjukkan telatah Hagemaru dan keluarganya.

Upin & Ipin - 12.30 tengah hari

Upin & Ipin merupakan sebuah siri animasi mengenai 2 adik beradik kembar berumur 5 tahun. Cerita ini diberitahu melalui perspektif mereka dengan cara yang mudah difahami, dan lucu. Opah dan Kakak Ros sedia untuk memberi mereka panduan dan nasihat di dalam cerita ini. Nilai-nilai murni senang difahami oleh kanak-kanak dan dapat mempengaruhi mereka dengan positif.

CUAK – 1.00 petang

Cuak merupakan drama bersiri komedi dan penuh misteri. Siri terbaru ini adalah tentang keluarga Bahaman yang pulang ke kampung untuk mencari Atuk mereka yang hilang. Semua penduduk kampung mempercayai yang Atuk telah meninggal dunia. Kini Danial, Thea dan Camelia (anak-anak Bahaman) mengambil keputusan untuk menetap bersama Opah di Kampung Luar Pagar dan mencari kebenaran. Apa yang terjadi pada Atuk sebenarnya? Lebih merumitkan keadaan, adik beradik ini juga mengharungi pelbagai dugaan dan kejadian yang pelik di Kampung Luar Pagar!

Geng Bas Sekolah – 1.30 petang

Lima murid dari sekolah yang berbeza telah mengikat persahabatan melalui sebuah bas sekolah. Maka di situlah bermulanya pengembaraan apabila perjalanan yang mereka lalui setiap hari dipenuhi dengan cabaran dan dugaan yang menjadi asam garam alam persekolahan. Geng Bas Sekolah (GBS) telah berkembang menjadi sebuah kumpulan yang lebih erat, berani dan bijak dalam menyelesaikan misteri-misteri yang mereka hadapi. Cabaran yang GBS akan hadapi pastinya akan menguji mereka sehingga ke tahap maksima!

Hikayat Putera Shazlan – 2.00 petang

Hikayat Putera Shazlan (HPS) mengisarkan kehidupan harian seorang anak yatim piatu bernama Shazlan ditemani sebuah Buku Ajaib. Kehidupan Shazlan penuh dugaan kerana dia bukan sahaja kehilangan ibu bapa tetapi penjaganya (Mak Som) sangat kejam terhadapnya. Tetapi setiap kali Shazlan dalam kesusahan, Buku Ajaib akan membantunya dengan memberi objek-objek ajaib untuk menyelesaikan segala masalahnya.

Kapten Boleh – 2.30 petang

Dilahirkan dengan kuasa yang sentiasa berubah, Awie yang berhati mulia secara tidak sengaja menjadi adiwira yang menyelamatkan bumi dari kuasa-kuasa jahat dengan bantuan tiga anak-anak muda. Prof. Mamat adalah musuh utama Kapten Boleh dan akan berusaha sedaya upaya untuk menewaskannya.

Rafeeq – 3.00 petang

Rafeeq mengisahkan pencipta MISA atau Pusat Risikan Tentera Malaysia, Professor Deen yang telah meraikan komander Rafeeq di atas kejayaannya dalam peperangan menentang askar RATAVA dan mengingatkan beliau bahawa Polyphenols Production Power Plants telah dimusnahkan semasa peperangan tersebut. Kerana itu, MISA akan kehilangan punca kuasa jananya selama tiga hari dan bakal memusnahkan dunia mereka.

Klik – 3.30 petang

“KLIK!” sebuah drama yang santai, bersahaja dan menghiburkan. Menyingkap cerita mengenai sekumpulan remaja; Redwan, Aizat, Haziq, Karthik, Elisya, Aminah, Amanda dan Evelina. Sebuah drama bersiri 30 minit yang santai,bersahaja dan menghiburkan. Mengupas persoalan dalam lingkungan remaja seperti persaingan mendapat tempat terbaik, dikenali ramai dan menjadi pujaan.

Tom Tom Bak – 4.00 petang

Tom Tom Bak adalah rancangan pertama yang khususnya untuk mencungkil bakat adik-adik. Lihatlah gelagat bintang-bintang kecil ini apabila mereka menjadi tumpuan di pentas Astro Ceria, bersama hos kegemaran anda Aznil Hj. Nawawi. Rancangan Tom Tom Bak dibahagikan kepada tiga segmen, “Siapa Dia?”, adik-adik akan berlakon pelbagai watak-watak yang menarik untuk hiburan semua. Di dalam “Jom Borak”, adik-adik berkongsi pendapat secara spontan dan bersahaja. Dan terakhir sekali ialah “Ada Bakat Ke?”, iaitu segmen menunjukkan bakat dalam bidang nyanyian, menari dan sebagainya.